Alkisah disebutkan bahawa di kota Array terdapat Qadhi yang kaya-raya.
Suatu hari kebetulan hari Asyura' datanglah seorang miskin meminta
sedekah. Berkatalah si miskin tadi, "Wahai tuan Qadhi, adalah saya
seorang miskin yang mempunyai tanggungan keluarga. Demi kehormatan dan
kemuliaan hari ini, saya meminta pertolongan daripada tuan, maka berilah
saya sedekah sekadarnya berupa sepuluh keping roti, lima potong daging
dan duit dua dirham."
Qadhi menjawab, "Datanglah selepas waktu zohor!"
Selepas sembahyang zohor orang miskin itu pun datang demi memenuhi
janjinya. Sayangnya si Qadhi kaya itu tidak menepati janjinya dan
menyuruh si miskin datang lagi selepas sembahyang Asar. Apabila dia
datang selepas waktu yang dijanjikan untuk kali keduanya itu, ternyata
si Qadhi tidak memberikan apa-apa. Maka beredarlah simiskin dari rumah
si Qadhi dengan penuh kecewa.
Di waktu si miskin jalan mencari-cari, ia melintas di depan seorang
kristian sedang duduk-duduk di hadapan rumahnya. Kepada orang Kristian
itu si miskin minta sedekah, "Tuan, demi keagungan dan kebesaran hari
ini berilah saya sedekah untuk menyara keluarga saya."
Si Kristian bertanya, "Hari apakah hari ini?"
"Hari ini hari Asyura", kata si miskin, sambil menerangkan keutamaan dan
kisah-kisah hari Asyura'. Rupanya orang Kristian itu sangat tertarik
mendengar cerita si peminta sedekah dan hatinya berkenan untuk memberi
sedekah.
Berkata si Kristian, "Katakan apa hajatmu padaku!"
Berkata si peminta sedekah, "Saya memerlukan sepuluh keping roti, lima ketul daging dan wang dua dirham sahaja."
Dengan segera ia memberi si peminta sedekah semua keperluan yang
dimintanya. Si peminta sedekah pun balik dengan gembira kepada
keluarganya. Adapun Qadhi yang kedekut telah bermimpi di dalam tidurnya.
"Angkat kepalamu!" kata suara dalam mimpinya. Sebaik sahaja ia
mengangkat kepala, tiba-tiba tersergam di hadapan matanya dua buah
bangunan yang cantik. Sebuah bangunan diperbuat dari batu-bata bersalut
emas dan sebuah lagi diperbuat daripada yaqut yang berkilau-kilauan
warnanya. Ia bertanya, "Ya Tuhan, untuk siapa bangunan yang sangat
cantik ini?"
Terdengar jawapan, "Semua bangunan ini adalah untuk kamu andaikan sahaja
kamu mahu memenuhi hajat si peminta sedekah itu. Kini bangunan itu
dimiliki oleh seorang Kristian."
Apabila Qadhi bangun dari tidurnya, iapun pergi kepada Kristian yang dimaksudkan dalam mimpinya.
Qadhi bertanya kepada si Kristian, "Amal apakah gerangan yang kau buat
semalam hingga kau dapat pahala dua buah bangunan yang sangat cantik?"
Orang Kristian itu pun menceritakan tentang amal yang diperbuatnya
bahawa ia telah bersedekah kepada fakir miskin yang memerlukannya pada
hari Asyura' itu.
Kata Qadhi, "Juallah amal itu kepadaku dengan harga seratus ribu dirham."
Kata si Kristian, "Ketahuilah wahai Qadhi, sesungguhnya amal baik yang
diterima oleh Allah tidak dapat diperjual-belikan sekalipun dengan harga
bumi serta seisinya."
Kata Qadhi, "Mengapa anda begitu kedekut, sedangkan anda bukan seorang Islam?"
Ketika itu juga orang Kristian itu membuang tanda salibnya dan
mengucapkan dua kalimah syahadat serta mengakui kebenaran agama yang
dibawa oleh Nabi Muhammad SAW..
0 komentar:
Posting Komentar