Sebuah kapal yang sarat dengan muatan dan bersama 200 orang termasuk
ahli perniagaan berlepas dari sebuah pelabuhan di Mesir. Apabila kapal
itu berada di tengah lautan maka datanglah ribut petir dengan ombak yang
kuat membuat kapal itu terumbang-ambing dan hampir tenggelam. Berbagai
usaha dibuat untuk mengelakkan kapal itu dipukul ombak ribut, namun
semua usaha mereka sia-sia sahaja. Kesemua orang yang berada di atas
kapal itu sangat cemas dan menunggu apa yang akan terjadi pada kapal dan
diri mereka.
Ketika semua orang berada dalam keadaan cemas, terdapat seorang lelaki
yang sedikitpun tidak merasa cemas. Dia kelihatan tenang sambil berzikir
kepada Allah s.w.t.. Kemudian lelaki itu turun dari kapal yang sedang
terunbang-ambing dan berjalanlah dia di atas air dan mengerjakan solat
di atas air. Beberapa orang peniaga yang bersama-sama dia dalam kapal
itu melihat lelaki yang berjalan di atas air dan dia berkata, "Wahai
wali Allah, tolonglah kami. Janganlah tinggalkan kami!" Lelaki itu tidak
memandang ke arah orang yang memanggilnya. Para peniaga itu memanggil
lagi, "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Jangan tinggalkan kami!"
Kemudian lelaki itu menoleh ke arah orang yang memanggilnya dengan
berkata, "Apa hal?" Seolah-olah lelaki itu tidak mengetahui apa-apa.
Peniaga itu berkata, "Wahai wali Allah, tidakkah kamu hendak mengambil
berat tentang kapal yang hampir tenggelam ini?" Wali itu berkata,
"Dekatkan dirimu kepada Allah s.w.t.." Para penumpang itu berkata, "Apa
yang mesti kami buat?" Wali Allah itu berkata, "Tinggalkan semua
hartamu, jiwamu akan selamat." Kesemua mereka sanggup meninggalkan harta
mereka. Asalkan jiwa mereka selamat. Kemudian mereka berkata, "Wahai
wali Allah, kami akan membuang semua harta kami asalkan jiwa kami semua
selamat."
Wali Allah itu berkata lagi, "Turunlah kamu semua ke atas air dengan
membaca Bismillah." Dengan membaca Bismillah, maka turunlah seorang demi
seorang ke atas air dan berjalan menghampiri wali Allah yang sedang
duduk di atas air sambil berzikir. Tidak berapa lama kemudian, kapal
yang mengandungi muatan beratus ribu ringgit itu pun tenggelam ke dasar
laut.
Habislah kesemua barang-barang perniagaan yang mahal-mahal terbenam ke
laut. Para penumpang tidak tahu apa yang hendak dibuat, mereka berdiri
di atas air sambil melihat kapal yang tenggelam itu.
Salah seorang daripada peniaga itu berkata lagi, "Siapakah kamu wahai
wali Allah?" Wali Allah itu berkata, "Saya ialah Awais Al-Qarni."
Peniaga itu berkata lagi, "Wahai wali Allah, sesungguhnya di dalam kapal
yang tenggelam itu terdapat harta fakir-miskin Madinah yang dihantar
oleh seorang jutawan Mesir." Wali Allah berkata, "Sekiranya Allah s.w.t.
kembalikan semua harta kamu, adakah kamu betul-betul akan
membahagikannya kepada orang-orang miskin di Madinah?" Peniaga itu
berkata, "Betul, saya tidak akan menipu, ya wali Allah."
Setelah wali itu mendengar pengakuan dari peniaga itu, maka dia pun
mengerjakan solat dua rakaat di atas air, kemudian dia memohon kepada
Allah s.w.t. agar kapal itu ditimbulkan semula bersama-sama hartanya.
Tidak berapa lama kemudian, kapal itu timbul sedikit demi sedikit
sehingga terapung di atas air. Kesemua barang perniagaan dan lain-lain
tetap seperti asal. Tiada yang kurang. Setelah itu dinaikkan kesemua
penumpang ke atas kapal itu dan meneruskan pelayaran ke tempat yang
dituju. Apabila sampai di Madinah, peniaga yang berjanji dengan wali
Allah itu terus menunaikan janjinya dengan membahagikan harta kepada
semua fakir miskin di Madinah sehingga tiada seorang pun yang
tertinggal.
0 komentar:
Posting Komentar